Subhanallah...sememangnya Along menangis semahunya saat pertama kali kedua-dua belah kaki yang selama ini terdedah, Along sarungkan dengan sepasang stoking. Kaki juga adalah aurat wanita. Alhamdulillah kerana Allah telah menggerakkan hati Along untuk menutup aurat dengan sebaik mungkin mengikut syariatNya. Lega juga hati ini, masakan tidak kerana selama ini Along tak pernah mengambil berat tentang aurat yang perlu ditutup dengan sebenarnya mengikut syariat Islam. Bagi Along, cukup sekadar menutup rambut & berpakaian labuh. Hakikatnya, Along masih tidak memahami apa yang dikatakan menutup aurat dalam konteks sebenarnya.
Along mula berjinak-jinak pakai tudung masa sekolah darjah 4. Masa awal-awal dulu nak pakai tudung ke sekolah sebab malu dengan kawan-kawan yang kebanyakannya pakai baju kurung dan tudung. Along masih lagi pakai pinafore. Masa Along cakap kat Mama nak pakai tudung ke sekolah, Mama belikan tudung untuk Along. Dulu, ada sepupu yang umur 20an tinggal bersama kami dan membantu kerja-kerja rumah sebab Mama bekerja. Boleh dikatakan dia menjadi pengasuh kami adik-beradik masa tu. Dia tak bagi Along pakai tudung ke sekolah sebab katanya kalau dah pakai tudung, tak boleh main-main. Tak boleh buka dah. Kena betul-betul pakai sampai bila-bila. Along pelik juga tapi tak berani bantah sebab Along masih budak-budak mentah dan tak faham apa-apa. Ditakdirkan, sepupu Along tu balik kampung sebab dia nak bekerja di kilang kat Penang. Apalagi, Along terus ambil tudung sekolah yang disimpan dan pergi ke sekolah dengan mula memakainya pada hari persekolahan. Rasa happy juga, ya laa...masa tu kita masih budak-budak. Memang tak mengerti apa-apa. Cuma mengikut je apa yang orang lain buat.
Bila dah menganjak remaja, Along mula belajar pakai tudung semasa keluar berjalan-jalan dengan keluarga. Tapi masa tu, Along masih lagi on & off. Sampailah Along berusia 16 tahun. Along dah tak pernah buka tudung bila keluar rumah. Kat rumah, Along tak pernah pakai tudung walaupun ada yang bukan muhrim. Maknanya, Along belum betul-betul faham batas aurat bila berada di rumah. Along masih pakai baju-baju yang dipanggil baby T dengan seluar jeans. Memang favourite la pakaian macam tu. Pakai plak tudung bawal 3 segi yang bermanik-manik, kemudian diselimpangkan ke bahu kiri dan kanan. Dada pula masih lagi tidak tertutup dan boleh dilihat bentuknya. Aduh! Macam nak menangis bila teringat balik. Pendek kata, zaman jahiliyah Along la waktu tu. Dah review macam ni, barulah Along tersedar. Rupanya, dah lama sangat Along ambil masa untuk berubah menjadi seperti sekarang.
Waktu belajar di Politeknik pula, ada juga lelaki-lelaki yang bersiul nakal bila melihat Along berjalan di hadapan mereka. Apa tidaknya, jelas kelihatan punggung tonggek yang Allah anugerahkan kat Along ni melenggang-lenggok di mata mereka. Malunya!! Salah sendiri, suka pakai baju kebaya. Maklumlah, anak dara sunti. Marah pulak kat lelaki-lelaki tu yang Along cop sebagai gatal. Hakikatnya, dah memang lumrah lelaki begitu. Allah Maha Penyayang, Dia perintahkan kepada kaum perempuan untuk menutup aurat dengan sempurna untuk memelihara maruah & menjaga kita. Banyak kelebihan menutup aurat. InsyaAllah...akan kita bincangkan lagi di entri yang lain. Along nak sambung kisah perjalanan Along tentang menutup aurat dari skala 1 hinggalah skala 8 seperti yang ditunjukkan dalam jadual kat atas tu.
Bila Along dah kahwin, Along masih lagi pakai T-shirt & jeans. Oleh sebab tubuh Along yang kecil ni, Along memang tak minat nak sentuh baju yang labuh-labuh apatah lagi jubah. Sebab, Along rasa pakaian begitu akan menenggelamkan Along. Ramai yang tegur begitu juga. Astaghfirullah! Jahilnya Along sampai begitu sekali pemikiran masa tu. Suami sendiri pun lebih suka dengan penampilan Along yang agak seksi dengan pakaian ketat walaupun Along rasa dah labuh. Tapi ciri-ciri pakaian Muslimah tiada sebaliknya lebih kepada hijabister ciptaan yahudi. Kononnya, kita menutup aurat tapi hakikatnya, kita masih telanjang. Bak sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam hadis :
“Dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan-gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya..” (Sahih Muslim).
Entah macamana, semakin lama tudung yang Along pakai Along labuhkan sehingga menutupi bahagian dada. Along dah terbiasa dan tidak betah lagi memakai tudung yang singkat tanpa menutup dada. Pakaian pula, Along dah mula pakai baju yang longgar-longgar sejak hujung tahun lalu. Along sendiri rasa rimas dengan baju-baju ketat Along sebelum ni. Along lebih selesa pakai sleeveless dress yang kembang dengan cardigan labuh di luar. Kat rumah pula, setiap kali ada lelaki bukan muhrim Along akan tutup aurat dari dilihat mereka. Balik rumah mertua pun begitu. Along dah tak sewenang-wenangnya mempertontonkan rambut dan aurat lain pada ipar duai begitu juga bila berada dengan saudara mara yang lain contohnya sepupu, suami kepada makcik sendiri dan sesiapa jua yang dianggap bukan muhrim. Boleh rujuk pic kat bawah ni untuk lebih jelas.
Sungguh, sejak mengubah penampilan diri mengikut suruhan agama, jiwa ini lebih tenang dan bahagia. Terasa diri lebih berharga. Secara automatik, kita menjaga tingkah laku. Malu juga untuk bergurau mesra dengan lelaki yang bukan muhrim seperti waktu dulu. Sememangnya, menutup aurat dengan sempurna membawa banyak kebaikan buat kaum perempuan. Bila kita memahaminya, semuanya menjadi mudah. Yang paling best, Along dah tak perlu usung kain telekung ke sana sini sebab pakaian Along dah memang menutup aurat dan Along boleh terus menunaikan solat walau di mana jua berada. Along juga belajar menjaga wudhu bila keluar rumah supaya Along dapat tunaikan solat tepat pada waktunya.
Begitulah perjalanannya sampailah usia Along dah menjengah 34 tahun, Allah kurniakan Along kefahaman tentang tutup aurat yang sebenarnya. Walaupun lambat, tapi tiada istilah terlewat untuk berubah menjadi lebih baik. Alhamdulillah. Along semakin memahami erti indahnya hidup bersyariat. Banyak lagi ilmu yang Along nak belajar agar diri ini lebih mengenal & menyintai sang pencipta Rabbul 'Alamin. Along terasa seakan hidayah yang tiba-tiba mengetuk pintu hati ini. Syahdunya....Benarlah, bila kita mencari cinta Allah...Allah akan dorongkan hati kita. Allah akan berikan jalan untuk kita. Selangkah kita mendekati Allah, berjuta langkah Allah dekat dengan kita. Subhanallah!!
Along tak lupa untuk mendoakan semoga saudara mara dan sahabat handai terutamanya yang ada disekeliling Along akan dipertemukan dengan hidayah dan merasakan kemanisannya sebagaimana yang ALong rasakan ketika ini. Semoga Allah tetapkan iman kita dan kuatkan hati kita untuk terus istiqamah serta bermujahadah ke jalan Allah.



No comments:
Post a Comment